BAS PEMAIN HARIMAU MALAYA DI KERUMUNI PEMINAT |
Tahun ini skrip hampir sama namun bezanya, anak buah Datuk K Rajagobal dikepung penyokong sendiri ketika mahu keluar dari Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin kerana tidak tahan dengan kekalahan memalukan pada aksi pertama Kumpulan B di tangan musuh tradisi Singapura 0-3.
Ketika keyakinan penyokong mula kendur kerana kecewa dengan persembahan buruk pemain negara, Rajagobal masih lagi yakin dengan misi mempertahankan kejuaraan biarpun mengakui ia tampak sukar.
Adakah pengendali berusia 56 tahun itu masih mempunyai sentuhan magis ketika Malaysia kalah 1-5 pada aksi pembukaan di tangan Indonesia pada 2010 dan kemudian muncul juara ataupun hanya terbawa-bawa dengan kejayaan silam? “Saya masih yakin kami akan berjaya melakukannya, saya yakin kami akan melakukannya sekali lagi. Dulu saya pernah berkata, apabila kami kalah 1-5 kepada Indonesia, saya berharap kami akan jumpa Indonesia di final, jadi saya mahu katakan di sini, saya berharap kami akan jumpa Singapura di final,” kata Rajagobal pada sidang media selepas tamat perlawanan kelmarin.
Kekalahan itu menyebabkan Harimau Malaya kini menduduki tangga tercorot dengan Singapura menduduki tangga teratas selepas mengutip tiga mata manakala Indonesia dan Laos yang seri 2-2 kelmarin berkongsi satu mata.
Kini skuad kebangsaan tiada pilihan selain menang ke atas Laos dan Indonesia pada baki dua perlawanan terakhir jika mahu terus menghidupkan peluang.
Kemungkinan besar Mohd Farizal Marlias bakal mengambil posisi Khairul Fahmi Che Mat yang melakukan kesilapan kerana membenarkan gol kedua Singapura.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27 - METRO ONLINE
No comments:
Post a Comment