Tuesday, 30 October 2012

Safiq nafi tandatangan kontrak sertai Johor

KAPTEN Selangor, Safiq Rahim menafikan sudah menandatangani kontrak menyertai Johor musim depan berdasarkan MOU (Memorandum Persefahaman) yang ditanganinya ketika mengadakan perbincangan baru-baru ini.
Dia yang dinobatkan selaku Pemain Tengah Terbaik Kebangsaan 2012, semalam menyatakan bahawa segala keputusan mengenai hala tujunya kemungkinan diketahui esok ataupun selepas selesai dengan tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya di Thailand 7 November ini.

“Saya belum menandatangani kontrak dengan Johor lagi, MOU itu hanyalah sebagai tanda saya ada mengadakan perbincangan dengan mereka, ia bukanlah perjanjian persetujuan untuk bermain.
“Setakat ini apa yang boleh saya katakan adalah saya mengadakan perbincangan serius dan sudah mendapat kontrak ditawarkan Johor dan juga Selangor. Apa yang pasti selepas saya menolak tawaran Arema (kelab Indonesia) untuk kekal dalam Liga Malaysia,” kata Safiq ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu semalam.

Pemain berusia 25 tahun yang cukup terkenal dengan kepakaran mengambil sepakan percuma itu meraih gelaran pemain tengah terbaik negara kali kedua berturut-turut dengan mengatasi dua lagi calon, Mohd Badri Radzi (Kelantan) dan Rizal Zambery Yahya (ATM).

Safiq, kapten Harimau Malaya bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tawaran Johor yang dikhabarkan pendapatan melebihi RM50,000 sebulan namun menegaskan keputusan yang diambil nanti adalah demi kepentingan kariernya.
“Saya tidak boleh beritahu tapi semua pasukan yang berminat sudah mengemukakan tawaran masing-masing dan kini terpulang kepada saya membuat keputusan. “Sebagai pemain saya perlu mengambil kira tawaran itu kerana sekarang semua benda menggunakan kos dan karier sebagai pemain bola sepak juga singkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment