Dengan nilai ‘saham’ dirinya yang semakin bertambah selepas merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dan Penyerang Terbaik Kebangsaan 2012 buat kali ketiga berturut-turut, Norshahrul berasakan sudah tiba masanya dia mengharungi cabaran baru selepas tiga tahun bersama skuad Red Warriors itu.
“Johor akan mengadakan perbincangan dengan Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) sama ada mahu mengambil saya musim depan atau tidak tapi setakat ini belum ada sebarang berita.
“Saya ingin mencuba pasukan baru dan mencari pengalaman untuk membantu meningkatkan prestasi saya. Saya mahu mencari angin baru untuk melihat sejauh mana kemampuan saya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012, semalam.
Norshahrul atau turut dikenali dengan panggilan Mat Yo mencuri perhatian Johor yang bersedia berbelanja besar kali ini selepas mempamerkan aksi mantap dengan menjaringkan dua gol ketika membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan ATM 3-2 di pentas final.
Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu juga adalah tonggak utama Harimau Malaya ketika memenangi Piala Suzuki AFF 2010.
Mengulas kejayaannya melakukan hatrik MVP sejak 2010 dengan menewaskan rakan sepasukan Norfarhan Mohamad dan Mohd Amri Yahyah kali ini, dia berkata: “Saya berterima kasih kepada keluarga yang banyak memberi dorongan. Ini hadiah untuk cahaya mata saya yang pertama yang bakal lahir tidak lama lagi.” Setiausaha Kehormat Kafa, Azman Ibrahim yang diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru isu perpindahan Norshahrul itu berkata, pihak persatuan masih belum bersedia melepaskan ayam tambatan itu.
“Kami akan membincangkan status Norshahrul dalam mesyuarat jawatankuasa pasukan yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya yang turut hadir pada majlis itu bagi menerima anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik.
No comments:
Post a Comment