Friday, 2 November 2012

Safiq Rahim Ke JOHOR

JUARA 32 kali Piala Malaysia, Selangor bakal kehilangan kapten, Safiq Rahim apabila pemain tengah itu mengesahkan akan menyertai pasukan berbelanja besar, Johor musim depan.
Selepas membiarkan peminat gergasi Merah Kuning tertanya-tanya kedudukannya, Safiq akhirnya membuka mulut dengan menyatakan kesediaan menandatangani kontrak lumayan selepas kontraknya berakhir 30 November ini.

“Selepas berbincang dengan semua pihak termasuk keluarga dan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor), saya membuat keputusan untuk berbakti dengan Johor pada musim akan datang.
“FAS sedia melepaskan saya dan saya akan menandatangani kontrak bersama Johor apabila kontrak dengan Selangor tamat 30 November ini. Kontrak saya dengan Johor selama setahun dan diberikan pilihan untuk sambung setahun lagi atas persetujuan bersama,” katanya yang ditemui pemberita sebelum berangkat bersama skuad Harimau Malaya ke Hanoi, Vietnam, semalam.

Bagaimanapun, Safiq meletakkan satu syarat kepada Johor jika mahu dia menyarung jersi Harimau Selatan itu.

“Saya minta Johor melepaskan saya jika mendapat tawaran pasukan luar dari Asean (Asia Tenggara) dan mereka bersetuju dengan syarat itu,” katanya.
Safiq, 25, sebelum ini dikaitkan akan meninggalkan Selangor selepas enam tahun beraksi dengan pasukan Liga Super itu apabila mendapat tawaran kelab dari Croatia, Bosnia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia (Arema) namun terpaksa menolak tawaran itu kerana mahu memberikan komitmen kepada skuad kebangsaan bagi persiapan kejohanan Piala Suzuki AFF.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pantas menghidu perkembangan itu dengan menawarkan kontrak kepada Safiq selepas berjaya mengikat pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Razak serta Azmi Muslim dari Angkatan Tentera Malaysia.
Ketika desas-desus menyatakan PBNJ sanggup membayar gaji hingga RM50,000 sebulan, pakar sepakan percuma itu menjelaskan, wang bukan faktor utama dia menerima tawaran itu.

Sebaliknya, pemain kelahiran Kuala Selangor itu mahu merasai cabaran baru serta memburu kejuaraan yang tidak pernah dia kecapi dalam kancah bola sepak tanah air iaitu, Piala Malaysia.

“Tawaran (gaji) itu tidak banyak dan tidaklah sikit sangat. , ia bergantung kepada penilaian mereka terhadap aksi saya di atas padang. Jika saya dapat lebih, itu adalah rezeki bagi saya. Yang penting kita perlu berikan yang terbaik, setimpal dengan apa yang diterima.

Sasaran saya adalah Piala Malaysia kerana itulah piala berprestij di negara ini yang belum saya menangi,” kata Safiq.

No comments:

Post a Comment